POLITIK

PRK AYER KUNING: BN LEBIH BERMINAT 'JUAL' CALON BERBANDING HENTAM LAWAN

22/04/2025 07:53 PM

TAPAH, 22 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) lebih berminat untuk 'menjual' calonnya berbanding menghentam pihak lawan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata strategi itu lebih dekat dengan rakyat serta mencerminkan kematangan politik BN yang mahu memenangi hati pengundi secara bersih dan berhemah.

"Saya beritahu jentera, BN perlu tampil berbeza daripada parti lain, kita tak hendak kempen politik 'bantai' orang sebaliknya kita mahu 'jual' calon kita,” katanya kepada pemberita selepas bertemu jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rahmat di sini hari ini.

Mengenai perjalanan kempen PRK itu, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata kerjasama baik antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk memenangkan calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir membuktikan kesepakatan Kerajaan Perpaduan.

"Kalau ada konsep ini, parti bagus, calon baik dan jentera bersatu padu, selalunya agak sukar untuk kalah. Kita minta mereka teruskan kerja ini hingga akhir kempen," katanya.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula berkata kaedah kempen secara sederhana mampu mengekalkan keharmonian pelbagai kaum yang terbina sejak sekian lama di negara ini khususnya di DUN Ayer Kuning.

Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata persefahaman dan perpaduan kaum di DUN Ayer Kuning sudah lama wujud menerusi komposisi kepimpinan pelbagai kaum di Parlimen Tapah.

“Ketika saya menjadi Menteri Besar juga sudah begitu... wakil rakyatnya pelbagai, ada Melayu, Cina, India, ini bagi saya simbol kepada perpaduan penduduk,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach KPT@Tapah di sini.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan dipilih sebagai Ahli Parlimen Tapah manakala dua kerusi DUN di Parlimen itu iaitu Ayer Kuning dan Chenderiang masing-masing diwakili Allahyarham Ishsam Shahruddin (UMNO) serta Choong Shin Heng (MCA).

PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

PRK itu diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan