KUANTAN, 22 April (Bernama) -- Tourism Malaysia melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk tiga strategi utama bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, dengan sasaran menarik lebih ramai pelancong asing berkunjung ke negara ini.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Mohd Azizul Arif Yahaya berkata pihaknya optimis langkah itu mampu memberi kesan positif, khususnya dalam sektor pelancongan tempatan menerusi promosi secara digital, dalam talian dan luar talian dengan konsisten.
“Strategi pertama kita akan memperbanyakkan acara dan festival yang boleh menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia, menerusi kempen kesedaran dan promosi secara berterusan.
“Kedua, kita kemudiannya cuba meyakinkan pelancong yang datang itu untuk menginap lebih lama di satu-satu tempat yang dikunjungi iaitu dua atau tiga malam,” katanya kepada pemberita semasa Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Pahang 2025 di sini hari ini.
Program itu adalah kesinambungan pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi dan maskot TMM 2026, serta sebahagian daripada siri libat urus yang berlangsung di Kelantan dan Terengganu.
Sesi ini juga bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada penggiat industri pelancongan di Pahang mengenai pelbagai inisiatif dan peluang yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, sekali gus menyokong agenda nasional ke arah kejayaan TMM 2026.
Mengulas lanjut, Mohd Azizul berkata strategi ketiga pula adalah menonjolkan Malaysia di mata dunia sebagai destinasi membeli-belah, yang akan menyumbang kepada pendapatan dan merancakkan ekonomi negara.
“Kita turut mengenal pasti terdapat ramai pelawat harian daripada negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Thailand yang datang ke Malaysia. Jadi, mereka ini perlu ditukar daripada pelawat harian kepada pelancong dengan bermalam di sini,” katanya.
-- BERNAMA