KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Dua puluh dua syarikat Malaysia yang menyertai Program Perniagaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Ekspo 2025 Osaka, Jepun telah memperoleh pelaburan dan eksport bernilai lebih RM40 juta.
MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat berkenaan adalah daripada pelbagai sektor utama termasuk elektrik dan elektronik (E&E), sains hayat, tenaga boleh baharu, minyak dan gas serta makanan dan minuman.
Berlangsung sempena Minggu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) semasa ekspo itu, program itu menyaksikan syarikat tempatan itu memperoleh leksport dan pelaburan bernilai lebih RM40 juta, petunjuk positif untuk penyertaan Malaysia dalam acara itu, katanya.
Ekspo 2025 Osaka berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober, 2025.
Agensi promosi perdagangan berkenaan telah berjaya menganjurkan lebih daripada 100 mesyuarat perniagaan dalam jangka masa dua hari pada minggu pertama Program Perniagaan di Pavilion Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pecutan Eksport) MATRADE Abu Bakar Yusof berkata minat kukuh dan hasil memberangsangkan dicapai pada minggu pertama mencerminkan reputasi Malaysia yang semakin meningkat sebagai rakan kongsi perdagangan dan pelaburan dipercayai.
“Menerusi kerjasama strategik dan promosi bersasar, kami menyasarkan untuk mempercepatkan akses pasaran dan peluang komersial lebih besar untuk perniagaan Malaysia, bukan sahaja di Jepun tetapi juga dalam pasaran baharu muncul dan berkembang pesat lain di seluruh dunia,” katanya.
Program Perniagaan tersebut telah menarik minat pembeli Jepun dan antarabangsa, meletakkan Malaysia sebagai negara perdagangan boleh dipercayai dan berdaya saing dalam sektor pertumbuhan tinggi dan berimpak tinggi seperti halal, E&E dan teknologi hijau.
MATRADE berkata ia akan terus menerajui program perniagaan di Pavilion Malaysia sepanjang acara itu, bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan kerajaan negeri.
"Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kehadiran perdagangan global Malaysia dan memupuk perkongsian ekonomi jangka panjang dan mampan merentas pelbagai sektor," katanya.
-- BERNAMA