AM

UUM BANTU URUS JENAZAH PELAJAR MAUT DIHIMPIT BAS

20/04/2025 06:19 PM

ALOR SETAR, 20 April (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) akan membantu menguruskan jenazah penuntutnya yang maut terhimpit bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, UUM di Sintok, semalam.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata pihak universiti akan menghulurkan segala bantuan dan sumbangan termasuk menguruskan jenazah Allahyarham Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang berasal dari Johor.

"Empat bantuan yang akan dihulurkan UUM setakat ini ialah pampasan insurans pelajar sebanyak RM30,000 (maksimum), khairat kematian pelajar RM1,500, sumbangan kematian Yayasan Perkasa Siswa RM2,000 serta urusan penghantaran jenazah ke rumah waris.

"Pihak universiti akan bantu uruskan jenazah termasuk penghantaran menggunakan van jenazah UUM bagi proses pengebumian. Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chemplak di Labis, Johor," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Foad berkata UUM menyerahkan segala siasatan kepada pihak polis dan setakat ini pihaknya belum menerima laporan lengkap siasatan kemalangan berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan seorang pelajar wanita UUM maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah bas di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, di universiti itu. 

Mangsa, Manarina Hasya yang mengalami kecederaan pada bahagian badan disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam menerima rawatan di hospital.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan