AM

35,551 KES KEMALANGAN DIREKODKAN DI LPT1 SETAKAT DISEMBER 2024

21/04/2025 12:33 PM

KUANTAN, 21 April (Bernama) -- Sebanyak 35,551 kes kemalangan direkodkan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sejak 2004 hingga Disember tahun lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim berkata daripada jumlah terbabit, sebanyak 730 jumlah kematian dicatatkan.

“Tiada lokasi yang dikategorikan sebagai blackspot di Lebuhraya LPT1, tetapi lebih kepada lokasi yang sering berlaku kemalangan. Tindakan penambahbaikan telah diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan di lokasi berkenaan, seperti di Kilometer (KM) 238.7 (arah barat) dan KM 87 (arah barat),” katanya pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Wong Tat Chee (ADUN Lantikan) berhubung jumlah kemalangan dan angka kematian yang telah direkodkan sejak pembukaan LPT1 di sepanjang laluan dalam negeri Pahang serta hotspot yang paling kerap berlaku kemalangan.

Razali berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah melaksanakan analisis secara tahunan bagi mengenal pasti lokasi yang kerap berlaku kemalangan menerusi aplikasi Malaysia Highway Road Accident Analysis & Database System (MHROADS), supaya tindakan mitigasi sewajarnya dapat diambil sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di lokasi berkenaan.

“Keberkesanan tindakan mitigasi yang dilaksanakan akan dipantau untuk memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Razali berkata Syarikat AFA PRIME Berhad, syarikat bertanggungjawab dalam pengoperasian dan penyenggaraan LPT1, akan sentiasa memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Beliau berkata antara langkah yang telah dan akan dilaksanakan oleh AFA PRIME Ialah Audit Keselamatan Jalan Raya, Kempen Keselamatan dan sesi advokasi bersama pengguna serta memastikan informasi dan hebahan awam dibuat dengan cepat dan jelas kepada pengguna.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan