JENAYAH & MAHKAMAH

GURU DITAHAN DISYAKI LAKUKAN GANGGUAN SEKSUAL TERHADAP PELAJAR

21/04/2025 06:32 PM

ALOR SETAR, 21 April (Bernama) -- Seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) di sini ditahan polis berikutan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap beberapa pelajar perempuan di sekolah berkenaan.

Setiausaha Lembaga Pengelola sekolah itu Ng Kok Weng berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis kira-kira pukul 5 petang Sabtu lalu yang memaklumkan mengenai penahanan guru berkenaan pada hari sama.

"Guru berusia 34 tahun itu ditahan selepas polis menerima dua aduan, masing-masing daripada seorang pelajar dan seorang bekas pelajar berhubung gangguan seksual yang berlaku.

"Berdasarkan maklumat yang diterima daripada polis, pihak sekolah telah mengadakan mesyuarat semalam dan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani perkara ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata antara keputusan yang dicapai ialah menghentikan tugas guru itu serta-merta dan melarang beliau memasuki kawasan sekolah bagi mengelakkan gangguan terhadap pelajar terlibat sehingga siasatan selesai sepenuhnya.

Ng berkata pihak sekolah turut memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan telah menyerahkan beberapa dokumen serta maklumat berkaitan bagi membantu siasatan.

Guru terbabit dilaporkan telah berkhidmat di sekolah berkenaan sejak 2016.

Beliau berkata pihaknya juga telah melaporkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan segala tindakan yang diambil adalah bertujuan menjaga kebajikan serta kesihatan mental, fizikal dan privasi pelajar yang terlibat.

“Sesi kaunseling turut disediakan kepada pelajar terlibat. Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, taklimat menyeluruh telah diberikan kepada semua pelajar dan guru mengenai insiden ini, selain penyediaan saluran aduan bagi memudahkan sebarang salah laku dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad, telah dihubungi bagi mengulas mengenai perkara itu, namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan setakat ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan