SEREMBAN, 20 April (Bernama) -- Sebanyak 1,383 rakyat Negeri Sembilan bakal berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata jumlah itu melibatkan 569 jemaah lelaki dan 814 jemaah wanita.
“Saya yakin mereka telah menjalani beberapa kursus dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) seperti Kursus Asas Haji, Intensif Haji dan hari ini Kursus Perdana Haji bagi memperkukuhkan kefahaman berkaitan manasik haji dan perkara berkaitan sama ada dari aspek kesihatan mahupun pengurusan.
“Proses penambahbaikan kursus haji ini telah memberi kemudahan kepada semua jemaah dan memberikan pengiktirafan yang terbaik kepada pengurusan jemaah haji yang dilakukan oleh TH,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sembilan Musim Haji 1446H / 2025 Masihi yang turut dihadiri Ketua Bahagian Bimbingan Haji TH Shahrin Awaludin di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan jemaah supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang ketika berada di Tanah Suci dengan menumpukan masa dan tenaga kepada ibadah selain mematuhi segala peraturan serta mengekalkan sikap disiplin yang tinggi.
Dalam pada itu, Shahrin berkata Negeri Sembilan antara negeri yang mencatat 95 peratus kehadiran ke kursus berkenaan sekali gus menunjukkan komitmen yang baik dalam kalangan jemaah.
“Alhamdulillah, Kursus Perdana Haji ini dah bermula sejak minggu lepas dan minggu ini paling banyak negeri adakan kursus, kalau lihat dari segi respons atau sambutan daripada jemaah ia sangat baik iaitu lebih 80 peratus jemaah hadir,” katanya.
-- BERNAMA