EKONOMI

F&NHB CATAT SEJARAH TERIMA 2,500 LEMBU TENUSU BETINA DARI CHILE

15/04/2025 04:42 PM

SEREMBAN, 15 April (Bernama) -- Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) mencatatkan satu pencapaian penting apabila menerima kumpulan pertama 2,500 ekor lembu tenusu betina dari Chile ke ladang tenusu integrasinya di Gemas, Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB Lim Yew Hoe berkata ketibaan kumpulan pertama lembu tenusu betina itu menandakan pengimportan ternakan pembiak baka tunggal terbesar negara, sekali gus membuka jalan untuk masa depan industri tenusu di Malaysia.

“Ini juga menandakan import lembu pertama Malaysia dari Chile.

“Lembu Holstein dari Chile ini telah diuji secara genomik sepenuhnya dan mempunyai Indeks Prestasi Keseluruhan Genomik (GTPI) yang setanding dengan piawaian prestasi lembu betina yang pada asalnya kami rancang untuk diimport dari Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lembu-lembu itu dibawa dari Santiago, Chile, menggunakan kapal pengangkut ternakan. Ternakan berkenaan menjalani perjalanan yang dirancang dengan teliti dan tiba di Pelabuhan Pasir Gudang, sebelum dipindahkan ke ladang dalam tempoh tiga hari.

Pengarah Urusan Pertanian dan Ladang Tenusu F&NHB Dr Yap Peng Kang berkata sepanjang perjalanan itu, lembu-lembu berkenaan berada di bawah jagaan pengendali ternakan khas yang memastikan kesejahteraan ternakan dengan memantau kesihatan, pemakanan dan keselesaan di sepanjang berada di atas kapal.

“Kapal itu dilengkapi dengan tahap pengudaraan seperti yang disyorkan serta bekalan makanan dan air yang mencukupi bagi mengurangkan tekanan dan mengekalkan keadaan persekitaran yang optimum,” katanya.

Dengan kejayaan itu, Yap merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak berkuasa yang terlibat, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Johor Port Bhd, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), di atas sumbangan mereka dalam memastikan proses pengimportan dan penghantaran berjalan lancar dan selamat.

“Lembu-lembu berkenaan ditempatkan di kandang moden F&N AgriValley yang dilengkapi dengan sistem kawalan persekitaran pintar untuk  memberikan keselesaan optimum,” katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun telah melawat F&N AgriValley pada 11 April lalu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan