KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Situasi banjir di Johor dan Sabah tidak menunjukkan sebarang perubahan pagi ini dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) kekal seperti malam tadi.
Di JOHOR, setakat 8 pagi ini, seramai 37 mangsa daripada 11 keluarga masih berada di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat, yang dibuka sejak 14 April lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata dua kawasan yang masih lagi terjejas banjir di negeri itu ialah Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Jalan Muar.
Selain itu, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, masih dilaporkan melepasi paras amaran iaitu dengan bacaan 8.63 meter.
Azmi berkata keadaan cuaca di Mersing dijangka hujan dan di Segamat mendung manakala lapan daerah lain diramalkan cerah pada pagi ini.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 155 mangsa daripada 54 keluarga berlindung di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort.
“Sebanyak enam kampung masih terjejas banjir di Beaufort dan trend pemindahan kekal," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA