KOTA KINABALU, 19 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah menyumbang RM110,000 untuk penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu tahun ini, meningkat berbanding RM100,000 tahun lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan sumbangan itu kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) selaku penganjur anugerah itu pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Rakan Media di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu di sini malam ini.
Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Datuk Lucy Irene Yong dalam ucapannya berkata Majlis Hari Raya Aidilfitri itu dihoskan khas oleh Ketua Menteri khusus untuk para pengamal media.
Beliau berkata Hajiji dan kerajaan negeri amat menghargai peranan dan kerjasama pihak media, yang terus memberi sokongan dan membantu melaporkan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Sambutan tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya, kerana ia diadakan di Menara Kinabalu yang mempunyai dewan yang cantik dan indah,” katanya.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah Penerangan negeri Jainisah Mohd Noor, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah Mohd Yusni Mohamed Ali, Presiden SJA Mariah Doksil dan Presiden Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) Jimmy Goh.
-- BERNAMA