KUALA LUMPUR, 19 April -- Impian skuad ragbi Malaysia kekal beraksi dalam Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025 musnah selepas tewas kepada juara Divisyen Satu Sri Lanka dalam perlawanan playoff hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Racecourse Stadium, Colombo skuad negara terpaksa akur tumpas 19-59.
Pada perlawanan itu, Sri Lanka berjaya melakukan sembilan try menerusi Dinal Ekanayake (tiga), Janidu Madushanka (dua), masing-masing satu menerusi Naveen Marasinghe, Danushka Ranjan, Dahan Wickramarachichi dan Akash Madushanka, manakala Mursheed Zubair Dora menyempurnakan tujuh conversion.
Tiga try Malaysia pula diraih menerusi pemain naturalisasi Etonia Vaqa Saukuru dengan Nazreen Fitri Nasrudin dan Amirul Aqil Kamsol masing-masing menyempurnakan satu conversion.
Kekalahan itu menyebabkan Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok elit ragbi Asia dan perlu beraksi di Divisyen Satu.
Terdahulu Malaysia terpaksa bermain di pusingan playoff selepas menamatkan Divisyen Premier musim lepas di tangga tercorot tanpa mengumpul sebarang mata.
-- BERNAMA