EKONOMI

RHB IB KEKAL SARANAN 'NEUTRAL' TERHADAP SEKTOR AUTOMOTIF, KOMPONEN

18/04/2025 02:43 PM

KUALA LUMPUR 18 April (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif dan komponennya.  

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu menjangkakan prestasi sektor itu akan terus menurun sejajar dengan kitaran ekonomi semasa, disebabkan ketiadaan faktor pemangkin yang mampu mendorong jualan dan perolehan ke paras tertinggi baharu.

“Kami mengambil strategi pemilihan yang teliti dan seterusnya memilih syarikat yang mampu mengharungi fasa penurunan sektor dengan Sime Darby (SIME) sebagai saham pilihan utama.

“SIME dipilih kerana ia berkedudukan baik untuk menghadapi usaha pewajaran subsidi RON95, memandangkan ia mempunyai barisan kenderaan elektrik (EV) yang luas, sementara Perodua memberi pelindungan perolehan tatkala persaingan antara jenama bukan kebangsaan semakin rancak,” katanya.

RHB IB turut menjangka pewajaran subsidi RON95 tetap akan dilaksanakan, namun kemungkinan ditangguhkan memandangkan kriteria kelayakan penuh yang pada asalnya dirancang diumumkan pada suku pertama 2025 masih belum didedahkan. 

“Kami difahamkan MyKad akan digunakan bersama-sama dengan sistem harga dua tahap, meskipun sistem ini berpotensi disalahgunakan.

“Tambahan lagi, klasifikasi T15, iaitu golongan yang tidak layak menerima subsidi, masih sedang disemak dan hal ini mungkin akan menyebabkan pelancaran tertangguh sehingga selepas pertengahan 2025,” katanya. 

Menurut RHB IB, meskipun butiran dasar masih kurang jelas, langkah itu dijangka meningkatkan kos pemilikan kereta, mendorong penggunaan EV, serta menyebabkan sebahagian pembeli beralih kepada jenama lebih murah memandangkan pilihan EV mampu milik di pasaran masih terhad. 

Ia berkata hala tuju penggunaan EV negara juga kekal tidak menentu, khususnya membabitkan pengecualian duti import dan eksais terhadap EV pemasangan luar negara (CBU) yang dijadual tamat pada akhir 2025.

“Penamatan pengecualian cukai terhadap EV CBU menepati aspirasi kerajaan untuk menarik pembuat peralatan asli (OEM) membuat dan memasang EV mereka di kilang tempatan, memandangkan EV CKD akan terus menerima pengecualian cukai sehingga akhir 2027.

“Namun begitu, hal ini mungkin akan menjejaskan penggunaan EV di Malaysia, kerana kebanyakan EV di atas jalan raya sekarang diimport,” kata RHB IB.

Selain itu, RHB IB berkata dasar jangka pendek ini juga menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan syarikat OEM, kerana mereka ingin melihat hala tuju dasar jangka panjang dengan lebih jelas sebelum membuat keputusan untuk menubuhkan kilang pembuatan di negara ini.

Dalam pada itu, RHB IB berkata isu dasar semakan nilai pasaran terbuka (OMV) untuk pengiraan duti eksais ke atas kenderaan pemasangan tempatan (CKD) juga turut menambah ketidaktentuan pasaran.

“Asalnya pengiraan dibuat berdasarkan kos pembuatan, tetapi semakan OMV mungkin memasukkan belanja berkaitan penjualan, lantas mungkin akan menaikkan harga kereta sebanyak 10 hingga 30 peratus sekiranya dikuatkuasakan pada Januari 2026. 

“Hal ini mungkin akan menyebabkan jualan kereta meningkat dengan mendadak sebelum duti eksais berkuat kuasa, namun tentangan daripada pengeluar-pengeluar kereta Malaysia mungkin mempengaruhi keputusan akhir mengenai perubahan dasar ini,” katanya.

Dari segi jualan, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi dua bulan pertama tahun ini menyusut 14.3 peratus tahun ke tahun, dengan TIV Mac dijangka naik secara bulanan berikutan promosi sempena Aidilfitri. Namun, TIV bagi suku pertama tetap dijangka lemah secara tahunan.

“TIV untuk 2025 diunjur sebanyak 730,000 unit, penurunan 11 peratus tahun ke tahun. Angka ini selari dengan prestasi TIV setakat tahun ini dan mengambil kira kesan asas yang tinggi pada tahun sebelumnya,” kata RHB IB.

 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan