KUANTAN, 17 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini melancarkan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Damar Berkat bagi menyelesaikan isu ketirisan hasil dan memastikan rantaian nilai pengeluaran sawit diurus secara telus, sistematik dan mampan.
FELDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan PMS Damar Berkat, yang dahulunya dikenali sebagai PMS Lestari FELDA Bukit Damar, akan mengetengahkan model baharu dengan melantik Koperasi Permodalan FELDA (KPF) sebagai super dealer yang bertanggungjawab membeli, mengumpul dan mengalihkan hasil sawit peneroka secara terus ke kilang.
Pelaksanaan PMS baharu itu juga bertujuan mewujudkan sistem pengurusan hasil yang lebih efisien, telus dan berpusat sekali gus menjamin kualiti dan meningkatkan pendapatan bersih peneroka serta memberi pulangan tambahan melalui dividen KPF.
“Ketika ini, pengurusan ladang peneroka terbahagi kepada dua kaedah, iaitu yang diuruskan oleh FELDA atau FELDA Plantation Management Sdn Bhd dan peneroka mandiri. Namun, penjualan hasil kepada orang tengah telah menyebabkan ketirisan yang dianggarkan mencecah RM200 juta setahun,” menurut kenyataan itu.
Sejajar dengan komitmen Malaysia menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2030, PMS Damar Berkat akan menjadi pusat mengumpul sawit pertama yang menggunakan lori kenderaan elektrik (EV) dalam pengumpulan hasil sekali gus membuka ruang kepada FELDA untuk meneroka potensi perniagaan karbon pada masa hadapan.
Dalam kenyataan sama, Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan PMS itu mampu mewujudkan satu sistem yang telus dan efisien untuk menyelesaikan masalah peneroka pada masa lepas dan memudahkan kehidupan mereka pada masa hadapan.
Sementara itu, kenyataan berkenaan turut menjelaskan pengeluaran minyak sawit negara kini mencecah 18 juta tan metrik manakala nilai eksport bagi bahan mentah itu adalah sebanyak 15 juta tan metrik.
“FGV Holdings Berhad sahaja menyumbang sebanyak 2.8 juta tan metrik, langkah pembaharuan ini dilihat mampu memberi impak besar kepada industri sawit negara secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA