KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Sapura Industrial Bhd (SIB) melancarkan identiti korporat yang baharu ketika ia memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan tinggi seperti pembuatan farmaseutikal, penyelesaian mobiliti, penjagaan kesihatan, teknologi internet pelbagai benda (IoT) dan ekosistem kenderaan elektrik (EV).
Pengarah Urusannya Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin berkata langkah itu sejajar dengan strategi kepelbagaian jangka panjang syarikat sambil kekal setia kepada perniagaan pembuatan komponen yang menjadi terasnya.
Beliau berkata syarikat itu telah beroperasi secara bebas sejak 2013, dan langkah penjenamaan semula berkenaan adalah tepat pada masanya untuk menghapuskan kekeliruan yang berlarutan berhubung kaitannya dengan bekas syarikat induknya, Sapura Holdings.
“Kami mahu menjadi lebih daripada sekadar pengeluar dan dengan identiti baharu ini, kami berhasrat untuk menjadi penyedia perkhidmatan, pencipta inovasi dan rakan pencipta penyelesaian generasi akan datang sejajar dengan visi perindustrian berteknologi tinggi Malaysia,” katanya pada sidang media selepas pelancaran identiti korporat baharu syarikat itu di sini hari ini.
Beliau berkata sebagai sebahagian daripada usaha Sapura Industrial untuk meneroka segmen EV, kumpulan itu telah mula melabur melalui platform “SIB Mili”, melalui kerjasama dengan usahawan berpengalaman dalam perniagaan kenderaan elektrik.
“Kami kini memberi tumpuan kepada penyelenggaraan kenderaan selepas jaminan, pembaikan bateri EV dan hibrid serta latihan teknologi untuk menyokong ekosistem mobiliti bersih yang semakin berkembang di Malaysia.
“Kami telah menyaksikan permintaan pasaran yang kukuh, terutamanya dalam penyelenggaraan kereta EV dan hibrid selepas tempoh jaminan mereka, manakala teknologi pembaikan bateri dan penggantian sel akan menjadi bahagian teras dalam penawaran ini di samping meningkatkan kemahiran bakat tempatan,” katanya.
Syed Izuan berkata walaupun EV pada masa kini menyumbang kira-kira satu peratus kepada jumlah hasil kumpulan, Sapura Industrial menjangkakan segmen itu mencatatkan pertumbuhan lima kali ganda dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, EV masih belum lagi menjadi pemacu utama hasil, dengan pembuatan komponen tradisional seperti bar penstabil, cakera brek dan spring terus menjadi tulang belakang perniagaan termasuk untuk model enjin pembakaran dalaman dan EV,” katanya.
-- BERNAMA