KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Lawatan negara Presiden China Xi Jinping selama tiga hari ke Malaysia menekankan kepentingan negara dari segi peranannya dalam ASEAN dan hubungan dua hala dengan China, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata lawatan Xi ke Malaysia penting bagi kedua-dua negara untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan yang telah dicapai setakat ini antara China dan Malaysia.
“Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan lagi pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara.
“MoU itu adalah dalam bidang berkaitan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI).
“Kami mahu melihat bagaimana kami dapat bekerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan untuk meredakan kebimbangan bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia mengeksport ke China,” katanya kepada media di pejabatnya di sini hari ini.
Malaysia dan China hari ini menyaksikan pertukaran 31 MoU dan dokumen meliputi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.
Tiga MoU dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah mengenai kerjasama dalam perdagangan dan perkhidmatan; menaik taraf projek “Two Countries, Twin Parks” dan mengukuhkan kerjasama dalam penyeragaman.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata MoU itu juga untuk China melabur lebih banyak di Malaysia dalam sektor yang bersesuaian bagi memajukan sektor teknologi terutamanya dalam AI dan semikonduktor.
Beliau berkata Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun lepas yang telah terjalin sejak 31 Mei 1974 selain menekankan hasrat kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala.
“Dari aspek pelaburan dan perdagangan, China merupakan rakan dagang utama Malaysia selama lebih 16 tahun berturut-turut. China antara pelabur terbesar Malaysia, terutamanya dalam tempoh 10 tahun lepas,” katanya.
Xi tiba di Malaysia semalam, merupakan lawatan rasmi keduanya ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan terakhirnya pada 2013.
Hari ini, Anwar akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk meraikan Xi.
Majlis itu selepas pertemuan antara Anwar dan Xi apabila kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).
Selaku Pengerusi ASEAN dan Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China.
-- BERNAMA