EKONOMI

TARIF AS BERI PELUANG MALAYSIA ROMBAK STRATEGI PERKUKUH EKONOMI NEGARA - PM ANWAR

19/04/2025 01:08 AM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat memberi peluang kepada Malaysia untuk merombak strategi dalam memacukan lagi pengukuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata jika Malaysia mahu menjadi negara maju dalam kerangka MADANI, ia harus melakukan lonjakan atau “quantum leap” untuk berupaya mendepani cabaran seperti ketegangan politik dan sosial.

Menyifatkan keadaan ekonomi global masa kini yang seakan-akan "gale of creative destruction" (gelombang pemusnahan kreatif), Anwar menekankan bahawa Malaysia perlu mencari kaedah-kaedah baharu supaya dapat melangkah maju ke hadapan.

“Kita melakukan apa yang menjadi kepentingan terbaik untuk negara dan bukan sekadar hanya memberi respons kepada cabaran semasa yang sebenarnya juga penting, tetapi (kita) mesti terus kekal dalam haluan kita.

“Tumpukan kepada pelaburan yang betul, (atasi isu-isu) ketidaksamaan serta inovasi,” kata beliau pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi Siri Kelima yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Live malam ini.

Mengulas perkembangan yang sama, Anwar berkata tarif AS juga mendorong Kesatuan Eropah (EU) untuk mempercepatkan rundingan perdagangan.

“Tarif (AS) telah mendorong EU untuk datang kepada kita bagi mempercepatkan proses (rundingan) perjanjian perdagangan bebas (FTA),” kata Perdana Menteri.

Beliau turut berkata kebergantungan yang berlebihan kepada pasaran tradisional yang telah lama wujud, kini tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang sihat.

"Oleh itu, walaupun untuk ASEAN, kita tidak lagi mengutamakan tanggapan tradisional seperti pemusatan dan keamanan untuk ASEAN, (tetapi) sebaliknya kita menekankan Perdagangan intra-ASEAN, pelaburan dan kelebihan daya saing,” kata beliau.

Forum kali ini membawa topik “Peranan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Dalam Mentransformasikan Syarikat: Mengimbangi Keuntungan dan Tanggungjawab Sosial Untuk Mencetuskan Negara yang Berdaya Cipta”.

Ia turut menampilkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd yang juga ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan