KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian penulis lirik tersohor lagu-lagu Melayu era kegemilangan Tan Sri P. Ramlee di Singapura, Yusnor Ef, yang meninggal dunia hari ini sebagai kehilangan besar buat dunia seni tanah air dan seluruh nusantara.
Fahmi juga menyifatkan Yusnor, atau nama sebenarnya Mohamed Noor Mohamed Yusofe, sebagai sebutir permata yang mewarnai industri muzik Melayu dengan karya yang meninggalkan kesan mendalam dan akan terus dikenang sepanjang zaman.
“Allahyarham bukan sekadar seorang seniman tetapi juga merupakan penjaga warisan budaya dan bahasa bangsa.
“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beramal soleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Media hari ini melaporkan Yusnor, 87, meninggal dunia pada 2 pagi di Hospital Sengkang, Singapura.
-- BERNAMA