PETALING JAYA, 18 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi mengumumkan inisiatif baharu dinamakan Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI), sebuah insentif berbentuk rebat kewangan untuk menyokong penganjuran konsert dan acara berskala besar di Malaysia.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sebanyak RM10 juta diperuntukkan setahun dan pelaksanaannya akan berkuat kuasa bermula pada 15 Mei ini.
“Program berkenaan dikendalikan MyCreative Ventures (MyCV) dengan sokongan Kementerian Komunikasi yang memberi tumpuan kepada penganjuran konsert dan acara berimpak tinggi khususnya melibatkan kapasiti melebihi 15,000 penonton dengan penglibatan artis tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Eid Synergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di sini hari ini.
Fahmi berkata terdapat beberapa syarat utama yang perlu dipatuhi penganjur bagi melayakkan mereka mendapatkan insentif itu termasuk perlu mempunyai pengalaman dalam acara berskala besar berkapasiti 15,000 orang dalam tempoh tiga tahun dari tarikh permohonan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata bagi pembiayaan artis antarabangsa, penganjur perlu membelanjakan minimum 20 peratus daripada jumlah Qualifying Malaysian Concert and Event Spend (QMCES) dengan penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus rakyat Malaysia untuk layak mendapat 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1.5 juta (mana-mana yang lebih rendah).
“Perkara ini termasuklah akan diberikan bonus tambahan sebanyak RM100,000 untuk projek yang menggabungkan artis tempatan dan menjual tiket 60 peratus atau lebih, 30 hari sebelum tarikh projek.
“Kemudian barulah rebat itu akan disalurkan sepenuhnya selepas projek selesai dan laporan akhir diluluskan,” katanya.
Bagi pembiayaan artis tempatan pula, beliau berkata penyaluran rebat adalah sama, namun penganjur perlu membelanjakan 70 peratus daripada jumlah QMCES di Malaysia untuk layak mendapat 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1 juta (mana-mana yang lebih rendah).
“Kita juga akan memberikan bonus tambahan sebanyak RM100,000 bagi projek yang mencapai jualan tiket 60 peratus atau lebih, 30 hari sebelum tarikh projek dan juga 20 peratus daripada jumlah jualan tiket akhir merupakan pembeli antarabangsa,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pengerusi ALIFE Datuk Alan Foo dan Timbalannya Brian Johnson Lowe.
-- BERNAMA