EKONOMI

INDUSTRI TAKAFUL AGIH MANFAAT RM10.20 BILION PADA 2024, MENINGKAT 16.73 PERATUS – MTA

16/04/2025 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Industri Takaful Malaysia secara kolektif mengagihkan bayaran manfaat berjumlah RM10.20 bilion kepada pemegang sijil pada 2024 yang juga peningkatan sebanyak 16.73 peratus daripada tahun sebelumnya, kata Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Pengerusi interim MTA Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata segmen Takaful Keluarga menyumbang 77.37 peratus daripada bayaran manfaat RM7.89 bilion yang dibayar pada 2024 manakala Takaful Am berjumlah RM2.31 bilion.

“Industri takaful ini kekal berdaya tahan dan mempunyai modal yang baik. Jumlah pembayaran ini juga menekankan lagi komitmen dan tindak balas dalam menyokong pemegang sijil ketika saat-saat memerlukan,” katanya pada sesi taklimat media mengenai prestasi industri takaful bagi 2024 di sini, hari ini.

Wan Saifulrizal berkata aset dana takaful bagi 2024 turut berkembang kepada 13.9 peratus daripada bahagian pasaran merangkumi jumlah aset dana konvensional dan takaful bernilai RM59.6 bilion -- peningkatan 11.6 peratus daripada RM55.7 bilion pada tahun sebelumnya.

"Selain itu, bahagian industri takaful dalam jumlah sumbangan bersih meningkat kepada 23.9 peratus pada 2024 daripada 23.4 peratus dalam 2023.

"Dari segi ringgit pula, sumbangan bersih takaful berjumlah RM19.0 bilion yang meningkat daripada RM17.3 bilion pada 2023, didorong oleh pertumbuhan dalam kedua-dua segmen Takaful Keluarga dan Takaful Am," katanya.

Beliau berkata sebanyak 993,393 sijil baharu Takaful Keluarga dikeluarkan pada 2024, sekali gus menjadikan jumlah sijil yang berkuatkuasa meningkat kepada 6.69 juta daripada 6.60 juta pada 2023 selepas mengambil kira penggantian, tamat tempoh atau penamatan sijil dalam tempoh sama.

Susulan itu, jumlah sumbangan kasar perniagaan baharu pada 2024 adalah RM9.73 bilion yang meningkat sedikit daripada RM9.59 bilion pada 2023.

Sumbangan daripada perniagaan yang berkuat kuasa meningkat kepada RM9.62 bilion pada 2024 daripada RM8.97 bilion sebelum ini yang mewakili pertumbuhan sebanyak 7.20 peratus.

“Industri ini sedang berusaha gigih dalam meluaskan lagi jangkauan takaful. Kami yakin ruang penambahbaikan bagi penciptaan impak positif dan menangani keperluan kritikal perlindungan untuk membina daya tahan akan terus ada," katanya.

Segmen Takaful Am terbukti mengekalkan momentum positif bagi tempoh 2023-2024 dengan sumbangan bertulis kasar meningkat tahun ke tahun kepada RM5.91 bilion daripada RM5.45 bilion atau mewakili pertumbuhan 8.46 peratus.

“Sumbangan langsung kasar mencatat kenaikan 8.41 peratus daripada RM5.44 bilion pada 2023 kepada RM5.90 bilion pada 2024, sebahagian besarnya dipacu oleh takaful motor yang mendominasi menerusi 68.77 peratus daripada sumbangan bertulis kasar," katanya.

Mengulas prospek masa depan, Wan Saifulrizal berkata industri takaful kekal optimis bagi 2025 walaupun wujud ketidaktentuan global berterusan yang menimbulkan risiko ekonomi.

“MTA akan terus menyelaras usaha-usaha di peringkat industri bagi meningkatkan kesedaran dan ketampakan takaful sebagai pilihan patuh Syariah untuk melindungi kewangan, aset serta kesihatan rakyat Malaysia.

“Kami lebih menumpukan usaha untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pemangkin transformasi dan pertumbuhan industri takaful,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan