PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Ruang pendidikan sentiasa terbuka luas kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 termasuk melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini diiktiraf sebagai pemacu utama pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata TVET bukan sahaja berperanan memperkasakan modal insan, tetapi juga membina asas kukuh kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang bergantung pada tenaga kerja mahir dan kompeten.
"Walau apa juga keputusan yang diperoleh, ia permulaan langkah ke peringkat kehidupan seterusnya yang akan mencorakkan masa depan, sama ada meneruskan pengajian akademik, menyertai dunia pekerjaan atau menceburi bidang teknikal dan kemahiran.
"Selain laluan akademik di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kerajaan turut menyediakan jalur pendidikan melalui TVET," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, beliau komited untuk memastikan agenda TVET diangkat sebagai satu daripada aliran pendidikan utama, bukan sekadar pilihan alternatif bagi mereka yang kurang cemerlang dalam akademik.
Beliau berkata kerajaan telah menyediakan saluran UP_TVET sebagai platform rasmi bagi memohon dan melanjutkan pengajian dalam bidang ini dengan 12 kementerian yang menawarkan program TVET melibatkan 1,398 institusi TVET.
“Jumlah pelajar menyertai bidang TVET pada tahun lepas juga meningkat kepada lebih 436,285 peserta berbanding 407,038 pada 2023. Kadar kebolehpasaran lepasan TVET mencecah 94.5 peratus termasuk kebolehpasaran siswazah daripada institusi TVET di bawah MARA (Majlis Amanah Rakyat) pula pada kadar 98.7 peratus,” katanya.
Beliau meminta kepada semua lepasan SPM supaya menggunakan peluang yang terbentang untuk memilih laluan selari dengan minat dan potensi masing-masing.
“Saya percaya andalah generasi pelakar perubahan, yang akan membina Malaysia lebih maju, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di pentas dunia,” katanya.
Keputusan peperiksaan SPM 2024 mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023.
Analisis keputusan SPM 2024 menunjukkan bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, meningkat kepada 14,179 orang atau 3.7 peratus berbanding 11,713 calon pada 2023.
-- BERNAMA