LAWAS, 13 April (Bernama) -- Seorang wanita nyaris tertimbus apabila kakinya tersepit dihempap almari selepas rumahnya di Kampung Banting, di sini runtuh pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata bagaimanapun, lima lagi ahli keluarganya berjaya keluar dari kediaman itu dan hanya cedera ringan.
“Bomba menerima panggilan berkaitan kejadian pada 3.10 pagi dan lapan anggota serta sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat Lawas digegaskan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kediaman jenis tidak kekal itu didapati telah roboh keseluruhan dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
Wanita itu katanya dibawa ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
-- BERNAMA