AM

MAJLIS PRA-PELUNCURAN WTD 2025 DIADAKAN JUN DEPAN

13/04/2025 11:07 AM

MELAKA, 13 April (Bernama) -- Melaka bakal mengadakan Majlis Pra-Peluncuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 yang dijangka dihadiri 155 duta asing pada Jun depan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata majlis yang diadakan di Banda Hilir itu sebahagian daripada program utama yang dirancang sebelum bermulanya sambutan sebenar pada September.

"Banyak pengisian yang kita rangka bagi merancakkan lagi sambutan WTD dan satu daripadanya dalam masa terdekat ialah majlis prapeluncuran bagi memberi penerangan mengenai objektif dan apa itu WTD2025.

"Pemilihan lokasi sememangnya kita akan lakukan di kawasan Banda Hilir dan sekitarnya dengan pelbagai acara dijangka akan memeriahkan lagi majlis tersebut," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut Abdul Razak berkata bersempena WTD dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 itu juga kerajaan negeri menyusun banyak acara utama lain yang diadakan pada setiap bulan hingga September.

Beliau berkata antara program seterusnya ialah Rentak Bertandak yang melibatkan negara jiran serantau dengan pelbagai acara seperti pertunjukan pentas kebudayaan negara masing-masing dan seminar.

"Ini secara tidak langsung dapat menghangatkan lagi sambutan WTD dan WTC 2025 di samping merancakkan lagi kehadiran pelancong ke Melaka tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan