AM

MALAYSIA SETUJU SEDIAKAN HOSPITAL MEDAN DI MYANMAR - MOHAMAD HASAN

12/04/2025 04:43 PM

REMBAU, 12 April (Bernama) -- Kerajaan secara prinsip bersetuju untuk menyediakan Hospital Medan Malaysia di Myanmar bagi meneruskan bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada mesyuarat Kabinet minggu lepas.

"Sebanyak 84 hospital di Myanmar runtuh, dan mereka memerlukan bilik pembedahan bergerak yang diuruskan oleh pakar perubatan. Ini sedang diuruskan, dan kita akan meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbincang mengenai cara untuk membawa peralatan yang diperlukan ke sana.

"Myanmar juga memerlukan banyak bantuan perubatan serta sistem menapis air kerana sistem air paip di sana pecah, menyebabkan gangguan bekalan. Mereka juga memerlukan khemah sebagai penempatan sementara," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Luar dan Parlimen Rembau di Kampung Tanjung, Rantau di sini. 

Mohamad berkata hospital medan tersebut dilengkapi dengan lebih 30 bahagian, termasuk bilik bedah, X-Ray dan kemudahan wad dengan lebih 30 katil.

Beliau menjelaskan bantuan itu boleh digerakkan pada bila-bila masa, namun pihak terlibat perlu memastikan jumlah pakar serta kelengkapan perubatan mencukupi sebelum dihantar.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia tidak teragak-agak untuk membawa keluar pasukan perubatan, peralatan, serta bantuan yang diselaraskan bersama negara-negara ASEAN lain jika keselamatan mereka terancam semasa berada di Myanmar.

“Sebab itu, saya telah maklumkan kepada pihak di sana, jika terdapat sebarang ancaman terhadap keselamatan anggota Malaysia atau mana-mana negara ASEAN, kita tidak akan teragak-agak untuk membawa pulang semua petugas...itu pendirian kita, kerana kita hadir untuk membantu, bukan untuk berdepan risiko,” katanya.

Pada 5 April lepas, Mohamad mengadakan lawatan sehari ke Myanmar untuk melaksanakan misi kemanusiaan susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara tersebut.

Pada 30 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan RM10 juta sebagai permulaan kepada Myanmar yang terkesan akibat tragedi bencana alam itu.

Sementara itu, lebih 50,000 orang menghadiri majlis berkenaan termasuk pemimpin negara, ketua jabatan dan perwakilan asing.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menyifatkan kemeriahan majlis hari ini mencerminkan keharmonian rakyat berbilang kaum yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan