EKONOMI

MALAYSIA MANFAATKAN HUBUNGAN BAIK, CARI PENYELESAIAN TARIF AS ATAS SEMANGAT ASEAN - PM ANWAR

12/04/2025 06:40 PM

BUTTERWORTH, 12 April (Bernama) -- Malaysia akan menggunakan kekuatannya dan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS), Eropah, China dan ASEAN untuk terus mencari jalan mengenai pelaksanaan tarif import timbal balas AS. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata malah semua negara anggota serantau turut bersetuju untuk menyelaraskan usaha secara bersama bagi mencari jalan mengatasi krisis tarif atas semangat ASEAN.

“Ini penting kerana kita bukan bergerak sebagai Malaysia tetapi sebagai satu kekuatan (ASEAN). 

“Masalah tarif yang dikenakan itu, kita harap melalui jalan-jalan (termasuk) perbincangan dan rundingan atas nama Malaysia, atas nama ASEAN kita dapat leraikan dengan sebaiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan barisan kepimpinan negeri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 juga tidak akan mengeluh atau mengalah dalam menghadapi kenaikan tarif yang dikenakan AS, sebaliknya yakin negara ini bersama-sama gabungan ASEAN akan bangkit mencari jalan bagi mengatasi kemelut ekonomi itu.

Beliau berkata kebimbangan itu tercetus berikutan Malaysia khususnya Pulau Pinang menjadi antara negeri eksport bahan semikonduktor yang tinggi dengan mencecah RM200 bilion, dan 65 peratus daripadanya ke AS.

Selain itu, Anwar menegaskan Malaysia perlu menunjukkan teladan baik sebagai sebuah negara yang harmoni dengan kekal aman, mempunyai ekonomi yang stabil dengan dasar jelas serta rakyat yang rajin bekerja.

“Kita mesti hentikan amalan buruk, sikap malas, kelewatan dalam kelulusan serta rasuah,” kata Perdana Menteri.

Justeru, beliau menyeru supaya kualiti kerja dan produktiviti rakyat Malaysia dipertingkatkan bagi mengekalkan persaingan yang kompetitif dan kestabilan ekonomi.

Presiden AS Donald Trump pada 2 April lepas mengumumkan negara itu akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

Langkah itu secara langsung menaikkan duti import terhadap beberapa rakan dagang utama Washington.

Bagaimanapun Trump pada Khamis lepas mengumumkan penangguhan kenaikan tarif lebih tinggi itu selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.

Eksport daripada syarikat berpangkalan di Pulau Pinang ke AS berjumlah 17 peratus (RM76 bilion) pada 2023 manakala eksport keseluruhan Malaysia ke negara itu berjumlah RM161 bilion dengan sektor elektrik dan elektronik sebagai penyumbang utama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan