AM

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: LAPORAN PENUH DIJANGKA BULAN DEPAN - AMIRUDIN

11/04/2025 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Laporan penuh berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas dijangka diperoleh pada pertengahan Mei ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada keadaan cuaca dan tahap kestabilan tanah di lokasi kejadian yang masih belum selamat untuk dimasuki pasukan siasatan.

“Tanah di lokasi masih tidak stabil dan terlalu rapuh. Jika terpijak, boleh menyebabkan terjatuh. Oleh itu, pasukan siasatan belum dapat turun ke kawasan letupan sehingga ia benar-benar selamat.

“Pasukan teknikal menjangkakan hanya pada pertengahan Mei barulah mereka dapat mengemukakan bukti atau kesimpulan konkrit berhubung punca kejadian,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan kepada 265 murid dan pelajar yang terkesan dalam kejadian itu di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, hari ini.

Beliau berkata faktor keselamatan itu turut menyebabkan kelewatan penyediaan laporan awal yang sepatutnya diperoleh dalam tempoh dua minggu dari tarikh kejadian.

Amirudin berkata siasatan setakat ini hanya dilakukan atas kertas dan siasatan terperinci di lapangan hanya boleh dilaksanakan selepas proses penstabilan tapak selesai. 

Dalam pada itu, katanya selepas 11 hari kejadian, tumpuan Jawatankuasa Pemulihan Putra Heights kini beralih kepada proses pemulihan infrastruktur rumah dan awam, pengurusan serta bantuan kepada penduduk seperti bayaran wang sewa selama enam bulan oleh kerajaan negeri, yang akan bermula minggu depan.

Beliau berkata mesyuarat terakhir pengurusan bencana telah diadakan pagi tadi dan selepas ini tumpuan akan diberikan kepada peranan Jawatankuasa Pemulihan.

“Pada Isnin depan, penduduk dalam dua kategori – rumah musnah sepenuhnya dan separa musnah – akan diberikan taklimat awal berhubung proses selanjutnya, termasuk prosedur permohonan bantuan wang sewa oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata taklimat berkenaan juga akan merangkumi aspek garis panduan pakar berkaitan pembinaan semula dan pembaikan rumah yang terkesan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata sidang media harian berkaitan insiden itu akan dihentikan dan diganti dengan sidang media berkala bagi memberi ruang secukupnya kepada pasukan siasatan yang diketuai Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dengan bantuan agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau turut memaklumkan kawalan keselamatan di kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian akan dilonggarkan bagi membolehkan kerja pembaikan rumah dilakukan, namun kawalan ketat akan terus dilaksanakan di kawasan ‘ground zero’.

Terdahulu, kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada setiap daripada 265 pelajar yang terkesan, melibatkan jumlah keseluruhan RM132,500.

Selain itu, sumbangan Kementerian Digital berupa 100 unit tablet dan ‘powerbank’, 75 unit komputer riba serta baucar buku RM200 turut diserahkan kepada 38 pelajar sekolah dan 37 mahasiswa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan