AM

KEBAKARAN SALURAN GAS: 85 PELAJAR IPT TERJEJAS

12/04/2025 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Sebanyak 85 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dikenal pasti terjejas dalam insiden kebakaran saluran gas Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, 1 April lepas.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata kebanyakan mereka telah kembali ke universiti dan kampus masing-masing, dengan 34 daripadanya mengikuti kelas secara dalam talian.

Beliau berkata pihaknya sedang menyelaras bersama Kementerian Digital bagi menyediakan komputer riba kepada pelajar terkesan, yang dijangka diselesaikan hujung bulan ini.

“Ada juga yang nak belajar secara dalam talian kerana komputer ribanya tidak begitu baik. Jadi ada universiti yang meminjamkan komputer riba kepada pelajar,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Ops Mega Pembersihan di Arena MBSJ, Subang Jaya hari ini.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi hari kedua Syawal itu menyaksikan api menjulang setinggi 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Azlinda berkata pihak universiti sentiasa menyemak dan memberikan perkhidmatan sokongan psikososial kepada pelajar terkesan berikutan ada sebahagian mereka mengalami trauma susulan kejadian itu.

“Setiap Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor tahu keadaan dan perkembangan pelajar-pelajar terjejas ini secara langsung dan universiti sentiasa memantau perkembangan mereka,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan