AM

BANJIR KILAT: WARGA ASING MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK DI SHAH ALAM

11/04/2025 05:22 PM

SHAH ALAM, 11 April (Bernama) -- Seorang lelaki warga asing maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik susulan kejadian banjir kilat di Taman Alam Indah, Seksyen 25 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan penemuan mayat lelaki berusia 27 tahun itu pada 10.51 pagi tadi.

Beliau berkata mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan terapung di pekarangan sebuah premis di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati premis itu merupakan stor menyimpan barang pembinaan dan turut dijadikan tempat tinggal oleh warga asing itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata turut ditemukan bangkai seekor anjing yang juga mati akibat terkena renjatan elektrik di sisi warga asing itu.

Mohd Iqbal berkata pemeriksaan tidak menemukan sebarang kesan pergelutan dan kecederaan pada mayat yang kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi proses bedah siasat. 

“Kes disiasat sebagai mati mengejut dan mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan