TAPAH, 12 April (Bernama) -- Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Dewan Merdeka di sini berjalan lancar pagi tadi, kata Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.
Beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan kerjasama parti-parti politik bertanding dan tiada insiden tidak diingini berlaku sehingga tamat tempoh proses penamaan pada 10 pagi.
“Setakat ini juga pihak kami tidak menerima sebarang laporan berhubung kesalahan berkaitan pilihan raya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata 778 pegawai dan anggota polis terlibat mengawal lalu lintas dan keselamatan sepanjang proses penamaan calon tersebut berlangsung.
Terdahulu usai proses penamaan calon, PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
BN diwakili Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, sementara PN meletakkan Pengerusi PN Tapah Abd Muhaimin Malek, 44, sebagai calon dan Timbalan Setiausaha Agung PSM Bawani KS, 40, mewakili parti itu.
Sementara itu Noor Hisam berkata setakat ini pihaknya meluluskan lima permohonan permit bagi tujuan kempen sepanjang tempoh 14 hari bermula hari ini sehingga hari pengundian 26 April nanti.
"Kita menasihati semua parti yang berkempen agar elak menyentuh sebarang isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi raja (3R)," katanya.
Beliau berkata pihaknya menempatkan anggota dan pegawai di setiap lokasi kempen dan ceramah agar pihak terlibat mematuhi peraturan, serta tidak berkempen melebihi waktu ditetapkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, manakala pengundian awal dijadualkan pada 22 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.
DUN tersebut mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.
-- BERNAMA