KUANTAN, 11 April (Bernama) -- Akademi Rel Pahang (ARP) akan menjadi peneraju kepada pendidikan formal dalam bidang rel di negara ini sekali gus dapat memperkasakan industri tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata Malaysia tidak sepatutnya terus bergantung kepada tenaga luar dalam membangunkan industri rel negara sebaliknya perlu memperkukuhkan pembangunan modal insan tempatan secara sistematik dan menyeluruh.
"Sepatutnya akademi rel ini telah lama diwujudkan. Walaupun kursus dalaman KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) telah diadakan untuk pegawai dan juga tenaga kerja baharu, tetapi akademi ini adalah pemangkin kepada pendidikan formal dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan ARP di Yayasan Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap tenaga kerja yang dihasilkan menerusi akademi ini juga tidak hanya dapat digunakan untuk keperluan domestik tetapi di luar negara kelak.
Terdahulu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata ARP ditubuhkan sebagai inisiatif strategik bagi menyokong agenda nasional untuk menjadikan Malaysia hab logistik dan pengangkutan serantau.
Beliau berkata dengan projek rel mega seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), wujud keperluan mendesak terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi selain ARP berperanan membentuk masa depan industri rel melalui program latihan yang memenuhi kehendak industri, merangkumi kemahiran praktikal, teori, sahsiah dan kepimpinan.
Sebagai langkah permulaan, ARP akan menghantar 10 pelajar ke Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), China pada awal Mei tahun ini, bagi menjalani latihan selama setahun.
Setelah tamat latihan, pelatih akan diserap ke dalam projek ECRL, selaras dengan visi ARP untuk menghasilkan tenaga kerja mahir tempatan yang dapat menyokong dan memajukan industri rel negara.
-- BERNAMA