JELEBU, 11 April (Bernama) -- Menerusi penganjuran program khas sambutan Aidilfitri hari ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Simpang Pertang di sini berusaha menyemarakkan semangat perkongsian silang budaya di samping memupuk perpaduan murid dari pelbagai kaum dalam suasana penuh meriah.
SJKC Simpang Pertang yang ditubuhkan sejak 1958 itu mempunyai 56 pelajar Melayu, 37 (Cina), enam (India), 11 (Orang Asli) dan tiga pelajar dari lain-lain bangsa.
Majlis bermula 9 pagi tadi disajikan pelbagai persembahan menarik seperti dendangan lagu Senandung Hari Raya dinyanyikan oleh murid Tahun Enam, G. Kashveena dan paluan kompang yang turut disertai seorang murid Cina.
Guru Besar SJKC Simpang Pertang Lee Meng Chu berkata persiapan penganjuran Aidilfitri itu dilakukan sejak tiga minggu lepas lagi, khusus untuk turut sama meraikan perayaan yang disambut pelajar muslim di sekolah berkenaan.
"Saya rasa program ini sangat berjaya.. walaupun SJKC, tapi tidak adil rasanya kalau tiada sambutan perayaan kaum lain, murid di sini berbilang bangsa, kami juga merancang meraikan Deepavali dan perayaan yang disambut Orang Asli.
"Bagi Orang Asli, saya perlu rujuk kepada individu yang tepat untuk mengetahui tentang mengenai budaya kaum berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis sambutan Aidilfitri anjuran SJKC Simpang Pertang di sini.
Lee berkata sekolah itu mempunyai 16 guru termasuk tiga guru dari kaum Melayu serta menyediakan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Sementara itu Wong Yi Qian, 11, berkata walaupun bersekolah di SJKC ini, dia dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik apabila bergaul dengan rakan-rakan Melayu serta seronok dapat meraikan Aidilfitri di sekolah hari ini.
"Sebelum ini saya hanya bercakap dalam Mandarin dan Bahasa Inggeris sahaja, apabila belajar di sini, percakapan Bahasa Melayu saya menjadi lebih baik dan teratur, rakan-rakan di sini banyak membantu," katanya.
Sementara itu Nur Huda Adawiyah Fazuan,12, yang memasuki sekolah itu sejak pra-sekolah dapat menguasai tiga bahasa dengan baik iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin selain memperolehi keputusan 9A Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).
“Memang agak susah nak belajar bahasa Mandarin pada permulaan, tetapi guru-guru dan rakan di sini banyak membantu, saya boleh membaca dan menulis dalam Mandarin, bahasa Tamil pun saya faham juga sedikit," katanya.
Bagi Kashveena pula, belajar di SJKC mempunyai kelebihan tersebdiri apabila dia dapat menguasai empat bahasa, dan dia menyifatkan belajar di sekolah ini lebih seronok kerana rakan dari bangsa lain turut mahu belajar Bahasa Tamil dengannya.
-- BERNAMA