AM

MELAKA TERIMA IMPAK POSITIF HASIL HUBUNGAN DENGAN WILAYAH AUTONOMI GUANGXI ZHUANG

09/04/2025 05:20 PM

MELAKA, 9 April (Bernama) -- Melaka menerima impak positif hasil hubungan dua hala dengan wilayah autonomi Guanxi Zhuang, China, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata antaranya ialah peningkatan kemasukan pelancong asing dari China kepada 664,000 orang pada 2024, berbanding 204,000 tahun sebelumnya dengan penglibatan kumpulan budaya dari wilayah autonomi berkenaan turut mengadakan persembahan sempena Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024.

"Berdasarkan kejayaan ini Tahun Melawat Melaka akan dilanjutkan hingga 2026 sejajar dengan matlamat nasional untuk menarik 35.6 juta pelancong semasa Tahun Melawat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Lawatan Rasmi Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Lan Tianli ke Melaka hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung Kerajaan Wilayah Guangxi Zhong Dezhi, Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Guangxi Wei Ran, Ketua Pengarah Perdagangan Guangxi Yang Chunting dan Ketua Jabatan Kastam Nanning Wang Weibing.

Lawatan itu turut menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Niat antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Minzu Guangxi serta pelancaran Perikatan Industri-Pendidikan TVET China-Malaysia.

Ab Rauf berkata Lan turut menawarkan 15 biasiswa kepada golongan belia di Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan lima daripada biasiswa berkenaan khusus untuk anak Melaka.

"Ini satu perkembangan baik membabitkan hubungan bilateral antara Melaka dan juga Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang ini.

"Kita akan teruskan lagi hubungan antara kedua-dua wilayah ini secara berkala dan kita akan melihat beberapa perkembangan baharu hubungan dua hala ini merangkumi beberapa sektor yang memberikan pulangan baik," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan