KOTA BHARU, 9 April (Bernama) -- Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan meningkat 10 kali ganda kepada 4,591 kes dari Januari hingga 5 April lepas, berbanding hanya 459 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah iaitu 4,006 kes, diikuti kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun (516 kes) dan individu berumur lebih 12 tahun (73 kes).
“Setakat ini, 68 wabak HFMD dilaporkan di seluruh negeri dengan tiga daerah mencatat bilangan tertinggi iaitu Kota Bharu dengan 21 wabak, Pasir Mas (11) dan Kuala Krai (9),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri dan Hari Bertemu Pelanggan di sini hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 46 wabak berlaku di institusi seperti taska, tadika, tabika dan prasekolah manakala 22 wabak berlaku di rumah persendirian.
Tambah beliau majoriti pesakit hanya mengalami gejala ringan seperti demam dan ruam di kaki, tangan, mulut serta lidah, dan hampir semua pesakit pulih tanpa memerlukan rawatan khusus.
“Hanya dua kes mengalami komplikasi serius namun tidak memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.
Dr Zaini berkata 4,800 premis penjagaan kanak-kanak diperiksa di seluruh Kelantan dengan 46 daripadanya ditutup dalam tempoh dua minggu bagi kerja-kerja sanitasi.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran serta mengelakkan membawa anak kecil ke kawasan sesak seperti kolam renang, pusat beli-belah dan pasar malam.
“Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak juga disaran menjalankan saringan di pintu masuk, melakukan sanitasi berkala serta mengelakkan perkongsian barangan peribadi dalam kalangan pelajar,” katanya.
Sementara itu, Dr Zaini berkata 47 kes kecederaan akibat mercun direkodkan sepanjang Ramadan dan musim perayaan tahun ini, dengan 16 mangsa dimasukkan ke hospital dan dua mengalami kecederaan serius.
“Kebanyakan mangsa terdiri daripada kanak-kanak, dan kita dimaklumkan mercun yang digunakan telah diubah suai serta bukan jenis yang dijual secara sah,” katanya.
-- BERNAMA