KOTA BHARU, 9 April (Bernama) -- Kelantan mencatatkan 641 kes demam denggi setakat 5 April, menunjukkan penurunan 2.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 656 kes, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr. Zaini Hussin.
Beliau berkata tiada kematian dilaporkan tahun ini dan jumlah kes semasa juga lebih rendah berbanding sebelum pandemik COVID-19.
“Kes demam denggi tahun ini menurun sebanyak 52.3 peratus berbanding tahun 2020 (1,344 kes) dan 45 peratus berbanding 2019 (1,164 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaini berkata 43 wabak denggi dilaporkan di seluruh negeri sehingga Minggu Epidemiologi ke-14, meningkat berbanding 33 wabak dalam tempoh sama tahun lepas. Daripada jumlah itu, 38 wabak telah tamat manakala lima lagi masih aktif.
“Bagaimanapun, tiada lokaliti wabak ‘hotspot’ dicatatkan di Kelantan tahun ini,” katanya sambil menambah bagi mengekang penularan wabak, sebanyak 76,998 premis telah diperiksa bagi pengesanan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Beliau berkata sebanyak 412 kompaun bernilai RM206,000 dikeluarkan kepada pemilik premis yang dikesan mempunyai tempat pembiakan Aedes, di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154).
-- BERNAMA