KUANTAN, 8 April (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Nazri Abu Bakar yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang baharu berkuat kuasa pada hari ini.
Baginda berdua bertitah pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pengalaman dan dedikasi beliau untuk terus menjalankan tanggungjawab serta memikul amanah yang diberikan dengan penuh kebijaksanaan.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar Setiausaha Kerajaan Pahang baharu ini dapat memanfaatkan pengalaman serta kepimpinan yang dimiliki untuk terus membawa pembangunan negeri ke arah yang lebih gemilang.
"Kepimpinan yang penuh dengan kebijaksanaan, ketegasan serta komitmen yang tinggi amat diperlukan dalam memastikan perkhidmatan awam negeri ini terus berfungsi dengan cemerlang demi kesejahteraan rakyat.
"Semoga Allah SWT memberi petunjuk dan kekuatan kepada Datuk Nazri untuk menjalankan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan keberkatan,” menurut catatan di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Dalam pada itu, baginda berdua juga turut berdoa agar segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan akan membawa manfaat yang besar kepada negeri ini serta memartabatkan lagi nama Pahang di persada negara.
Nazri yang sebelum ini Pegawai Kewangan Negeri Pahang dilantik menggantikan Datuk Seri Zulkifli Yaacob yang bersara wajib semalam setelah berkhidmat selama 36 tahun bermula sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah Jerantut pada 1 Ogos 1989.
Surat pelantikannya diserahkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini dan Istiadat Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan Setiausaha Kerajaan Pahang akan berlangsung di Istana Abdulaziz di sini pagi esok.
-- BERNAMA