KUANTAN, 8 April (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat agar sentiasa menekankan aspek keselamatan terutamanya ketika di jalan raya.
Baginda bertitah aspek keselamatan dan sikap berhati-hati mampu membantu pengguna jalan raya daripada terlibat dengan sebarang kejadian tidak diingini.
“Al-Sultan Abdullah juga menasihatkan setiap penunggang motosikal agar sentiasa memakai topi keledar dan memiliki lesen kenderaan sah,” menurut hantaran dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli menyantuni keluarga mangsa kemalangan maut Muhammad Hazeem Hazimi Mohd Shamsuddin, 19, di kediaman mereka di Kampung Seri Chempaka, di sini semalam.
Muhammad Hazeem Hazimi meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat parah di kepala, selepas motosikalnya terbabas kerana terlanggar lubang di Jalan Kuantan-Cherok Paloh di sini, pada Jumaat.
-- BERNAMA