JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH BENAR PERMOHONAN BUNG MOKTAR, ISTERI TANGGUH BICARA BELA DIRI 

09/04/2025 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad bagi menggantung prosiding pembelaan mereka terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas peguam M. Athimulan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu, sehingga permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pasangan terbabit membela diri atas pertuduhan berkenaan diputuskan.

"Kedua-dua pihak telah memasukkan hujahan namun kami dimaklumkan oleh pihak pendakwaan pagi tadi bahawa mereka tidak membantah permohonan penggantungan prosiding tersebut," kata Athimulan yang mengendalikan kes pasangan itu bersama peguam Datuk Seri K. Kumaraendran.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How yang mengendalikan kes itu bersama TPR Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata pihaknya menerima arahan pagi ini bahawa tiada bantahan terhadap permohonan berkenaan.

"Perbicaraan ditetapkan hari ini, memandangkan perintah penggantungan telah diberikan, pihak kami mohon tarikh perbicaraan ditetapkan selepas pelupusan permohonan semakan itu. Timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan telah menetapkan pengurusan kes bagi permohonan semakan pada 11 April ini untuk menetapkan tarikh pendengaran," katanya.

Hakim Rosli kemudian menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 Sept dan 24 hingga 26 Sept 2025.

"Sehubungan itu, tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei 2025 dilapangkan," katanya.

Mahkamah Rayuan pada 18 Nov tahun lepas memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Sept 2023.

Pada 2 Sept 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan