IPOH, 16 April (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol Razman Zakaria digantung selama enam bulan dari menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkuat kuasa hari ini kerana mengeluarkan kenyataan bebaur perkauman dan hasutan pada 2 Dis lepas.
Keputusan itu dibuat setelah Razman yang juga Ketua Pembangkang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Dis.
Usul berkenaan dikemukakan oleh Ong Boon Piow (PH-Bercham) dan disokong Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) ketika Persidangan DUN di sini , hari ini.
Speaker DUN Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid kemudian meluluskan usul berkenaan selepas memperolehi undian persetujuan majoriti daripada ADUN.
Terdahulu Razman semasa Persidangan DUN Disember tahun lepas dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan serta telah menimbulkan perasaan sakit hati di bawah Peraturan 40 (11)(b) dan (c) Perintah-Perintah Tetap.
-- BERNAMA