AM

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: MCMC AMBIL TINDAKAN SEGERA PASTIKAN PERKHIDMATAN KOMUNIKASI STABIL

08/04/2025 08:10 PM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan segera bagi memastikan perkhidmatan komunikasi di sekitar Putra Heights, Subang Jaya dan dua pusat pemindahan sementara (PPS) kekal stabil susulan insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April lepas.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sembilan struktur telekomunikasi di kawasan berkenaan melibatkan satu milik CelcomDigi, dua (Maxis) dan enam (U Mobile) yang terjejas dan mengalami gangguan bekalan elektrik telah dipulihkan.

"Hasil tindakan pemulihan segera oleh syarikat penyedia perkhidmatan (telco), semua perkhidmatan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada hari sama,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, telco turut mengambil langkah segera untuk mengoptimumkan struktur sedia ada supaya memenuhi peningkatan keperluan perkhidmatan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan internet kepada para petugas dan mangsa yang berlindung di PPS Masjid Putra Heights.

MCMC memaklumkan sebagai langkah tambahan, sebuah unit Kenderaan Komunikasi Mudah Alih (MCV) turut digerakkan ke lokasi bagi meningkatkan kualiti liputan serta kemudahan Wi-Fi percuma disediakan Telekom Malaysia (TM) di dua PPS.

"Sebagai sokongan kepada mangsa yang terkesan, pihak telco kini sedang giat berhubung dengan pelanggan mereka bagi menawarkan bantuan seperti penggantian kad SIM dan peranti yang rosak, penyelarasan bil serta membuka kaunter perkhidmatan khas di lokasi PPS," menurut kenyataan itu.

MCMC memberi jaminan kualiti perkhidmatan komunikasi akan terus dipantau secara rapi oleh semua pihak bagi memastikan ia kekal pada tahap terbaik, khususnya bagi mangsa yang berlindung di PPS.

Insiden kebakaran saluran paip gas pukul 8.10 pagi pada 1 April itu mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas.

Setakat pukul 8 pagi tadi, 419 mangsa daripada 108 keluarga dilaporkan masih ditempatkan di dua PPS iaitu di Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan