AM

MCMC SEDIA KEMUDAHAN DIGITAL KEPADA MANGSA INSIDEN KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS

13/04/2025 03:39 PM

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Sebanyak 37 mahasiswa institusi pengajian tinggi yang kehilangan harta benda akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights menerima kemudahan komputer riba daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memudahkan urusan pembelajaran dan komunikasi.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan  pemberian kemudahan itu disampaikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari dalam majlis ringkas semasa lawatan beliau bersama wakil Kementerian Komunikasi dan MCMC ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights baru-baru ini.

Majlis penyerahan kemudahan itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran.

Menurut MCMC, pihaknya akan turut menyediakan peranti telefon bimbit kepada ketua isi rumah yang terlibat serta komputer riba kepada sekolah yang terkesan di sekitar Putra Heights. 

Pemberian kemudahan ini akan disampaikan secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

Secara keseluruhan, MCMC akan mengagihkan 302 unit komputer riba merangkumi 37 unit kepada mahasiswa dan 265 unit kepada sekolah serta 620 unit telefon bimbit kepada setiap isi rumah yang terkesan.

MCMC berharap inisiatif ini dapat mengurangkan beban mangsa khususnya dalam urusan pembelajaran, perkhidmatan dalam talian serta perhubungan komunikasi yang penting terutamanya dalam situasi ini.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi, 1 April lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan