JENAYAH & MAHKAMAH

SALAH GUNA KUASA: KETUA CAWANGAN JABATAN KERAJAAN DIREMAN ENAM HARI

08/04/2025 04:24 PM

KOTA BHARU, 8 April (Bernama) -- Seorang ketua cawangan sebuah jabatan kerajaan direman selama enam hari bermula hari ini hingga 13 April bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa.

Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Nik Mohd Tarmizi Nik Mohd Shukri di Mahkamah Gua Musang hari ini.

Suspek berusia 43 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya semalam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan projek baik pulih kemudahan di Gua Musang bernilai kira-kira RM100,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan