JENAYAH & MAHKAMAH

VIDEO TULAR KEKECOHAN DI RESTORAN, PENGUAT KUASA MBI LAPOR POLIS

17/04/2025 12:33 AM

IPOH, 16 April (Bernama) -- Polis sedang menyiasat kejadian kekecohan yang berlaku ketika anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menjalankan penguatkuasaan di sebuah restoran di Menglembu hari ini, seperti yang tular menerusi media sosial.

 Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima satu laporan daripada seorang anggota penguat kuasa MBI iaitu lelaki berusia 40 tahun pada 6.43 petang tadi berkaitan kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati semasa pengadu bersama pasukan penguat kuasa sedang menjalankan tugas sitaan kerusi dan meja berdasarkan aduan daripada Jabatan Kesihatan MBI, telah berlaku provokasi oleh seorang daripada pekerja restoran berkenaan.

“Suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi. Pengadu turut memaklumkan bahawa seorang daripada anggota penguat kuasa telah ditumbuk oleh individu terbabit,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata pihaknya sedang merakam keterangan daripada saksi bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 353/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Abang Zainal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Sheikh Fateeha Iman menerusi talian 010-290 8095 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Terdahulu tular satu video berdurasi 5 minit 57 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook memaparkan sekumpulan penguat kuasa menyerbu sebuah premis dipercayai sebuah restoran.

Video itu turut memaparkan seorang wanita pengsan dan berlaku pertelingkahan antara penguat kuasa dan beberapa individu di lokasi terbabit.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan