AM

PROGRAM HYTB 2025 PERKUKUH USAHA PUPUK KESEDARAN PENDIDIKAN CUKAI

17/04/2025 12:26 AM

ARAU, 16 April (Bernama) -- Program HASiL Your Tax Buddy (HYTB) 2025 @ IPT memperkukuh usaha memupuk kesedaran pendidikan cukai kepada generasi muda sekali gus meningkatkan pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) Perlis Akmal Mat Said berkata program dianjurkan secara santai dan interaktif itu memberikan pendedahan awal kepada golongan mahasiswa mengenai tanggungjawab terhadap cukai selain menyampaikan maklumat percukaian.

"Program ini satu daripada inisiatif strategik HASiL yang menekankan kepentingan pendidikan awal tentang cukai kepada generasi muda. Usaha ini juga diharap dapat memupuk kesedaran dan meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Program HYTB di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini yang dirasmikan Akmal. Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik PTSS Dr Isyati Suparman.

Antara pengisian program HYTB bertemakan 'Edutainment' di PTSS itu ialah perkongsian santai berkaitan asas percukaian selain aktiviti cabaran berkumpulan menggabungkan permainan dan kuiz interaktif bertemakan cukai selain pelantikan dua pelajar sebagai Duta HYTB 2025 bagi mempromosikan kesedaran cukai dalam kalangan rakan sebaya di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sementara itu, dalam kenyataan sama Isyati menzahirkan harapan agar pelajar dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memperkukuh keyakinan diri dalam menghadapi dunia kerjaya kelak.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan