Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah
JOHOR BAHRU, 21 Mei (Bernama) -- Persiapan bagi keseluruhan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadual bermula esok berjalan lancar setakat ini, kata Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata persiapan itu merangkumi Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Kongres Wanita Pusat serta proses pemilihan jawatan tertinggi parti.
“Hasil tinjauan saya di lokasi acara mendapati persiapan berjalan mengikut perancangan dan lancar.
“Saya juga sedang meneliti senarai pembahas dan senarai jemputan, sama ada mereka telah memberi maklum balas kehadiran atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama.
Fuziah berkata jemputan turut melibatkan pemimpin parti dalam Kerajaan MADANI untuk menghadiri Kongres Nasional PKR.
Kongres Nasional PKR akan bermula dengan perasmian serentak Kongres AMK dan Wanita, pada 8 malam esok.
Ia akan disusuli dengan Kongres AMK dan Wanita serta pemilihan kepimpinan pusat pada pagi Jumaat, sebelum ucapan dasar Presiden merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR pada sebelah malam.
Kongres seterusnya diteruskan pada Sabtu dengan sesi perbahasan, penggulungan oleh kepimpinan parti serta pengumuman keputusan pemilihan bagi kepimpinan pusat sesi 2025-2028.
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon menawarkan diri untuk bertanding bagi pelbagai jawatan peringkat pusat, merangkumi 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 calon bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Proses pencalonan menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan penyandangnya Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, seramai 12 individu mengemukakan pencalonan, termasuk empat penyandang iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK.
Bagi jawatan Ketua Wanita pula, pertandingan satu lawan satu melibatkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial