KOTA BHARU, 19 Mei (Bernama) -- Seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM13,000 tujuh tahun lepas.
Mohd Firdaus Mohd, 40, yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, didakwa menerima suatu benda berharga iaitu pembayaran kos renovasi rumahnya di Lot 2822, Kampung Pak Elong Telong, Bachok secara percuma bernilai lebih RM9,000 daripada seorang kontraktor, dan dia tahu bahawa kontraktor itu ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan kesalahan sama iaitu menerima wang deposit daripada individu sama bagi pembelian sebuah motosikal berkuasa tinggi bernilai RM4,500.
Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu masing-masing di rumahnya di Bachok antara Jan dan Jun 2018 dan IPD Machang pada Jan 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob mencadangkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Azura Ghazali yang mewakili Mohd Firdaus memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam yang telah berkhidmat selama 18 tahun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Selain itu, beliau berkata anak guamnya juga menanggung tiga anak yang masih kecil serta seorang isteri yang tidak bekerja.
Hakim Dazuki Ali membenarkan lelaki itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial