WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MASTERS MALAYSIA 2025: AARON-WOOI YIK PAMER MENTALITI JUARA

19/05/2025 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pasangan beregu badminton lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan mentaliti seorang juara, apabila mereka tidak mengambil masa berehat lama dan terus kembali menjalani latihan, hanya beberapa jam selepas menjuarai Thailand Open 2025 sebagai persiapan menghadapi Masters Malaysia 2025.

Aaron berkata mereka tiba di Kuala Lumpur tengah malam semalam dan terus ke Axiata Arena seawal jam 7.30 pagi tadi untuk mencuba gelanggang, menjelang kejohanan Super 500 yang akan bermula esok hingga 25 Mei.

“Tidur memang tak cukuplah sebab baru sampai tetapi kami akan rehat petang ini. Esok pun ada satu hari untuk rehat sebab perlawanan kami pada hari Rabu ini. Jadi, masih ada masa lagi (rehat),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Juara dunia beregu lelaki 2022 itu, bangkit dengan penuh bergaya untuk merangkul gelaran Super 500 pertama mereka di Terbuka Thailand, selepas menewaskan pasangan Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 20-22, 21-17, 21-12, dalam perlawanan akhir pada Ahad.

Pasangan kelima dunia itu, akan memulakan kempen Masters Malaysia 2025 mereka menentang pasangan Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Chi-Lin.

Menyedari harapan tinggi peminat tempatan selepas meraih kejuaraan kedua mereka musim ini, Aaron berkata mereka bertekad untuk memberikan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Pemain berusia 28 tahun itu turut memberikan penghargaan kepada ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi, yang telah berjaya memperbaiki corak permainan dan membimbing mereka merangkul dua kejuaraan musim ini, termasuk Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo, China pada April.

Sementara itu, Wooi Yik berkata kedatangan mereka ke venue pertandingan awal itu penting untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sebelum kejohanan bermula.

“Kami datang ke sini hanya untuk mendapatkan sedikit rasa gelanggang dan angin, kerana hari ini hari terakhir untuk buat begitu sebelum kejohanan bermula esok.

“Sesi ujian gelanggang ini rasa baik dan harap kami dapat beri aksi yang hebat pada hari Rabu,” katanya.

Wooi Yik juga percaya sokongan padu yang dijangka diterima daripada penyokong tempatan akan menjadi pembakar semangat untuk mereka memberikan persembahan terbaik di Masters Malaysia 2025.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan