WILAYAH - TENGAH > BERITA

AUSTRALIA BERUNDING DENGAN MALAYSIA UNTUK PERTINGKATKAN PERDAGANGAN EKSPORT HALAL

19/05/2025 12:09 PM

 

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Australia ketika ini sedang berunding dengan Malaysia mengenai perkongsian strategik untuk meningkatkan industri eksport daging halalnya.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke berkata hasil rundingan akan menjadi penting pada masa depan, bukan sahaja dari segi kelebihan perbandingan dalam pertanian tetapi juga teknologi melibatkan pertanian dan aspirasi Malaysia dalam industri halal.

“Terdapat banyak peluang dan kami berharap dapat memuktamadkan perkongsian melalui rundingan yang telah kami usahakan dengan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “Diplomatic Dispatch: Australia–Malaysia: Partners in a Changing Indo-Pacific”.

Heinecke berkata kira-kira 17 pengeksport daging Australia yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) yang memenuhi piawaian halal tinggi ditetapkan JAKIM, mengeksport ke Malaysia.

Tahun lepas, Australia mengeksport 38,220 tan daging biri-biri halal dan 13,511 tan daging lembu dan daging lembu halal ke Malaysia, masing-masing bernilai A$249.26 juta dan A$120.83 juta (A$1=RM2.75), menurut angka yang disediakan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia.

Malaysia juga merupakan pasaran eksport daging merah kedua terbesar Australia di Asia Tenggara selepas Indonesia dari segi jumlah, menurut “Meat and Livestock Australia”, sebuah penerbitan yang menyediakan gambaran pasaran eksport daging lembu dan daging biri-biri ke Malaysia.

Penerbitan itu juga berkata bahawa rakyat Malaysia mempunyai penggunaan daging lembu per kapita tertinggi di kalangan negara ASEAN iaitu 8.8 kilogram (kg) untuk setiap orang pada 2024.

Dalam pada itu, Heinecke berkata hubungan ekonomi antara kedua-dua negara telah diperkukuh lagi oleh Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) yang memudahkan perdagangan barangan, perkhidmatan serta pelaburan.

Malaysia ialah rakan dagangan kedua terbesar Australia di ASEAN dan rakan kongsi ke-10 terbesarnya secara keseluruhan dengan jumlah perdagangan pada 2023-2024 bernilai A$33 bilion.

Hubungan ekonomi dan perdagangan Australia dengan Malaysia adalah matang, komprehensif dan saling melengkapi, kata Heinecke.

“Pada 2023-24, Malaysia merupakan rakan dagang dua hala kedua terbesar kami di kalangan negara anggota ASEAN dan rakan kongsi ke-10 terbesar secara keseluruhan,” katanya.

Terdapat beberapa jenama runcit Australia di Malaysia antaranya termasuk Aesop, Arnott's, Blackmores, Boost Juice, Cotton On, Harvey Norman dan King Living.

Terdahulu semasa program itu, beliau berkata Canberra sedang mempergiatkan libat urus ekonominya di Asia Tenggara khususnya melalui misi perdagangan dan pelaburan yang disasarkan.

"Kami membawa misi perdagangan dan pelaburan ke sini yang berpusat di sekitar Energy Asia dan juga meneroka peluang dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

“Australia adalah pelabur teknologi digital keempat terbesar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata usaha niaga Malaysia yang berjaya di Australia termasuk projek tenaga boleh baharu Gentari dan inisiatif infrastruktur pengangkutan berteknologi tinggi Gamuda sebagai libat urus ekonomi dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Selain MAFTA, Malaysia dan Australia merupakan anggota Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan