WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MARITIM MALAYSIA TAHAN BOT NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN NEGARA

17/05/2025 09:23 PM

KOTA BHARU, 17 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata bot itu ditahan di kedudukan kira-kira 105 batu nautika dari muara Tok Bali semasa rondaan rutin Op Damai, Op Iman, Op Naga Barat dan Op Tiris.

Beliau berkata bot berkenaan enggan memberikan kerjasama ketika diarahkan berhenti dan cuba menuju ke perairan antarabangsa, namun berjaya dipintas kira-kira tujuh minit kemudian.

“Pasukan kami terpaksa melakukan tindakan force boarding bagi menghentikan bot berkenaan demi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Erwan Shah berkata pemeriksaan lanjut mendapati bot itu membawa lima kru termasuk seorang tekong, kesemuanya disyaki warga Vietnam berumur di antara 28 hingga 47 tahun.

Beliau berkata bot itu memuatkan kira-kira 300 kilogram hasil laut, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 300 liter yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM100,000 dengan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran menangkap ikan.

“Tekong bot turut disiasat mengikut Seksyen 16(3) akta yang sama kerana tidak melaporkan maklumat berkaitan bendera, laluan dan destinasi vesel ketika memasuki perairan negara.

“Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Erwan Shah berkata Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menceroboh serta menjalankan aktiviti perikanan haram di perairan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan