WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRASARANA SASAR 40 PERATUS PENGGUNAAN PENGANGKUTAN AWAM MENJELANG 2030

16/05/2025 01:20 PM

PETALING JAYA, 16 Mei (Bernama) -- Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) optimis dapat mencapai sasaran 40 peratus kadar penggunaan pengangkutan awam di negara ini menjelang 2030, selaras dengan usaha berterusan mempertingkat kemudahan dan perkhidmatan sedia ada. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata dengan sokongan kerajaan, pihaknya sedang melaksanakan perancangan strategik bagi meningkatkan jumlah pengguna daripada sekitar 1.3 juta pada tahun ini kepada 1.5 juta menjelang tahun depan. 

“Antara inisiatif utama ialah penambahan transit aliran ringan (LRT) 3 (laluan Shah Alam) yang dijangka beroperasi hujung tahun ini, penambahan lorong khas bas dan kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menambahbaik laluan pejalan kaki ke stesen bas dan LRT,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) yang diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya Faroze Nadar di sini, hari ini. 

Azharuddin berkata Prasarana turut merancang peluasan perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang kini semakin popular dalam kalangan penduduk Lembah Klang, serta menambah bilangan bas elektrik sebagai sebahagian daripada agenda mobiliti mampan. 

“Lorong khas bas juga amat penting kerana ia menyenangkan bas-bas untuk move up dari segi frekuensi dan memberi perjalanan lebih cepat kepada penumpang,” katanya.  

Beliau yakin pendekatan sistematik dan menyeluruh itu mampu menyumbang ke arah pencapaian sasaran 40 peratus penggunaan awam menjelang 2023.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih rendah iaitu sekitar 25 peratus, jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju seperti Singapura (67 peratus), Seoul (63 peratus) dan Tokyo (73 peratus).

Mengulas lanjut, Mohd Azharuddin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid baru-baru ini dan antara perkara yang dibincangkan ialah keperluan mendesak untuk menambah lorong khas bagi perkhidmatan bas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan