WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PUTIN TIDAK HADIR RUNDINGAN DAMAI UKRAINE DI ISTANBUL

15/05/2025 05:06 PM

MOSCOW, 15 Mei (Bernama-dpa) -- Presiden Rusia Vladimir Putin tidak akan menghadiri rundingan damai Ukraine di Istanbul, Kremlin mengesahkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut kenyataan Kremlin, Putin akan menghantar penasihatnya, Vladimir Medinsky, ke Turkiye sebagai ketua delegasi.

Terdahulu, spekulasi meluas timbul mengenai kemungkinan kehadiran Putin ke rundingan yang dinanti-nantikan di kota metropolitan Turkiye itu.

Penasihat dasar luarnya, Yuri Ushakov, turut memberi bayangan pada Rabu bahawa Putin berkemungkinan besar tidak akan hadir.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pula telah menyatakan hasrat untuk ke Turkiye secara peribadi bagi bertemu Putin, dengan alasan beliau tidak akan berunding dengan mana-mana individu lain kerana Putin merupakan pembuat keputusan dalam konflik dengan Ukraine.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang kini dalam rangka lawatan ke Teluk, mencadangkan beliau mungkin turut menghadiri rundingan tersebut sekiranya Putin hadir. "Saya tahu dia mahu saya berada di sana. Itu satu kemungkinan...Saya sedang mempertimbangkannya."

Trump menambah: "Esok jadual kami penuh, anda faham maksud saya. Kami akan ke Emiriah Arab Bersatu esok. Jadi keadaannya sangat padat. Tetapi itu tidak bermakna saya tidak akan lakukannya demi menyelamatkan banyak nyawa dan kembali semula."

Beliau berkata Setiausaha Negara AS Marco Rubio, pasti akan berada di Turkiye.

Menurut Rumah Putih, Rubio akan disertai dua utusan khas, Steve Witkoff dan Keith Kellogg.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan