WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SARAWAK LULUS PERUNTUKAN RM3.55 BILION BANGUNKAN KUARTERS KERAJAAN MODEN

14/05/2025 07:34 PM

SARIKEI, 14 Mei (Bernama) -- Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.55 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi membangunkan kuarters kerajaan moden di seluruh negeri.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu bertujuan menjaga kebajikan penjawat awam khususnya yang bertugas di kawasan luar bandar.

Beliau berkata kuarters baharu itu bukan hanya untuk kegunaan pegawai kerajaan negeri malah turut dibuka kepada pegawai Persekutuan jika diperlukan.

“Sebagai contoh, di kawasan saya di (Dewan Undangan Negeri) Gedong, tiada kuarters untuk doktor bertugas... akibatnya, kita terpaksa menyewa rumah penduduk kampung dan dari situ, datang inspirasi untuk membina kuarters moden ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Bahagian Sarikei hari ini.

Abang Johari berkata kuarters itu, yang bakal dibina berbentuk pangsapuri dan dikendali oleh agensi khusus, akan dilengkapi sistem keselamatan selain pusat rekreasi demi kesejahteraan fizikal serta mental penjawat awam.

“Ini pendekatan baharu supaya pegawai kerajaan dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata beberapa tapak telah dikenal pasti dan diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi tujuan pembinaan dengan keutamaan diberikan kepada lokasi berhampiran pejabat dan kemudahan rekreasi seperti stadium.

Abang Johari turut menzahirkan rasa puas hati dengan pembangunan di Bahagian Sarikei yang membabitkan 200 projek kerajaan hingga April 2025 dengan peruntukan keseluruhan RM4.9 bilion.

Projek terbabit meliputi pelbagai sektor termasuk pembinaan jalan raya, jambatan serta bekalan air dan elektrik.

Antara projek utama yang telah siap ialah Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak Sarikei yang menempatkan Pejabat Residen dan pelbagai agensi kerajaan dengan kos melebihi RM154 juta.

“Semua projek ini dilaksanakan mengikut jadual sekali gus memperkukuh perancangan pembangunan kerajaan di kawasan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan